Novaliches, Manila

Ninoy Airport

Novaliches, Manila

Pertama

Tanggal 20 Ogos 2015, keberangkatan ke Manila dari Kuala Lumpur. Saya sudah merancang seawalnya perjalanan ini dengan mengatur segala pengangkutan yang boleh digunakan. Seawal rancangan, saya ingin sekali lagi tidur di lapangan terbang dengan menjadi seorang backpacker. Masih teringat saat pertama kali tidur di International Airport Kuala Lumpur untuk menunggu penerbangan awal pagi. Ketika itu, permulaanya, hati ini kelihatan ragu-ragu dengan keselamatan, namun melihat manusia mula bergelimpangan sana sini, saya mula mencari port yang sesuai untuk beradu.

Di sebelah kiri adalah seorang perempuan Europe dan sebelah kanan adalah laki-laki yang saya tidak pasti dari mana. Tetapi amat payah untuk terlelap disebabkan bunyian enjin yang sangat kuat. Hasilnya, saya mengalami keletihan badan yang luar biasa, untung saya balik Sabah untuk berehat.

Mengingat kembali kenangan itu, saya memutuskan untuk berbelanja lebih sedikit dengan menaiki teksi Limo Airpot. Saya lansung membuat tempahan dan memilih pukul 5 pagi untuk berangkat dengan harga RM83.60. Melihat jarak rumah saya, Kelana Jaya adalah lebih jauh, saya memilih untuk tidur di NSI office. Saya menetapkan jam loceng pukul 4.30 pagi agar tidak terlebih tidur. Saya mengambil 30 minit untuk bersiap dan selesainya semua, saya melihat terdapat dua missed call. Sudah saya duga, ini mesti pemandu Limo Airpot, dalam fikiran saya memang sangat menepati masa ini pemandu.

Sampai saja di teksi, saya melihat seorang pak cik yang kelihatan berumur. Hati terus lega mengenangkan keselamatan saya akan terjamin. Ada sedikit stereotype di situ, saya selalu menganggap pemandu muda adalah kurang selamat berbanding dengan pemandu tua, khususnya jika kamu berseorangan diri. Membenam diri di teksi selama 1 jam, suasana masih gelap. Saya tidak mampu berborak dengan pemandu disebabkan mengantuk yang teramat.

Berhenti di International Airport Kuala Lumpur, saya lansung ke balai pelepasan antarabangsa, takut terlepas penerbangan dan cuba mencari arah. Sebaik tiba di ruang berlepas, terhembus nafas kelegaan. Saya Berjaya untuk menghalangai satu langkah perjalanan saya. Melihat suasana di ruang itu, kelihatan muka-muka yang saya sangat biasa lihat. Kenapa saya berfikir begitu? Kerana di Sabah, kebanyakkan migrant adalah dari Philippine. Jadi seakan ada satu ruang perkongsian yang wujud disitu, saya merasa tidak keseorangan. Sudah pastinya mereka juga menyangka saya ini seorang Filipino.

Satu paras di Manila

Kini sampai di International Airpot Ninoy, Manila. Dengan pemerhatian yang berjaga-jaga, saya melihat segala sign board untuk memberi arah. Hilang arah seketika, saya lantas bertanya kepada bahagian customer service airport. Mereka menunjukkan arah untuk keluar. Saya kira immigration di Airport Ninoy tidak strict seperti yang saya sangka, mungkin mereka sudah biasa dengan pengunjung berpasport merah dari Malaysia.

Keluar dari ruang ketibaan, saya lansung mencari kedai untuk menjual sim card. Saya melihat satu kaunter dengan papan tanda, 500 peso untuk 5 hari unlimited internet. Saya terus ke kedai itu. Sebaik sampai di kaunter, mereka menyapa saya dengan bahasa Tagalog.

“Miss, gusto mong bumili ng simcard”

“Sorry miss, I am not Filipino, I come from Malaysia”

“Oh! Sorry, I thought you are Filipino, you are look-alike”

Saya tersenyum saja dan menunjukkan sim kad di depan. Dia memberi sedikit penerangan dan menolong saya untuk memasukkan di telefon. Saya sempat bertanya arah kaunter teksi. Perjalanan menuju ke kaunter teksi, saya merasa tidak terasing, tanda seawal Filipino tadi bercakap Tagalog dengan saya sudah menunjukkan saya adalah satu paras dengan mereka. Saya tidak kelihatan asing di mata mereka, bukan sebagai seorang pelancong.

Novaliches

Ke Novaliches

Mula bergerak dari airport dengan teksi ke Novaliches yang akan mengambil masa 3 jam dengan kos 12000 peso. Keadaan trafik sangat sesak dan kenderaan susah untuk bergerak, kelihatan pemandu ini sangat berani dan bijak meneliti jalanan dan ruang untuk terus bergerak. Sepanjang perjalanan, dengan keadaan trafik, saya melihat beberapa remaja belasan tahun menjual makanan di tengah jalan sambil membawa bakul penuh makanan. Mereka menawarkan kepada pemandu dan juga penumpang. Ini satu cara berjajan di sini.

Situasi itu menyentuh rasa saya. Dalam keadaan comot dan kelelahan, mereka memberanikan diri untuk bergelut dengan risiko semata-mata untuk beberapa peso. Persoalan spontan timbul di pikiran, tidakkah ibu bapa mereka risau? Atau sememangnya niat untuk membantu ibu bapa?

Gelut kemiskinan tengah kota

Mendekati kawasan Novaliches di Quezon City, Manila. Saya melihat kawasan perumahan yang sangat sesak dan seakan turut sesak sama melihat pengamatan didepan mata. Keadaan perumahan lama yang uzur dan ada yang separuh roboh. Tiada ruang lagi di antara rumah-rumah tersebut kerana terlalu padat. Nampaknya penduduk di sekitar itu bergantung sepenuhnya dengan pekerjaan makan gaji.

Mungkin ada sesetengah mereka mempunyai perniagaan sendiri, ada juga yang merelakan diri untuk bekerja dengan para kapitalis untuk sesuap nasi. Tiada sebidang tanah untuk bercucuk tanam, walaupun ruang untuk menjejakkan tapak kaki. Semuanya adalah jalanan konkrit. Ini memang rasa kehidupan di tengah-tengah kota. Segala pemandangan adalah konkrit keras, hanya pokok-pokok yang ditanam dikatakan berwarna hijau untuk menampakkan kehijauan kota.

Bahangnya terasa

Terasa bahang kemiskinan menular dalam diri saat itu. Pengamatan itu menusuk dalaman jiwa, tidak terkata. Saya tidak pasti bagaimana perlaksanaannya sistem di Filipina, sistem dan polisi dari segi pengagihan ekonomi. Saya mengetahui negara ini adalah sebuah negara Katolik, dan sudah tentunya mereka yang beragama Katolik mendapat kebebasan sepenuhnya beragama, tidak sepertinya di Malaysia. Kalau kita mengatakan Katolik adalah suatu agama yang mempunyai nilai dan ajaran yang tinggi, dan penuh dengan kasih sayang, lantas mengapakah kemiskinan yang begitu berbeza sekali di antara sesama penduduk di sana.

Perkongsian singkat dengan seseorang di program menambahkan pencerahan lagi, dia mengatakan di Quezon city, memang terdapat perbezaan yang sangat ketara dalam keadaan ekonomi dan cara hidup penduduk. Ada kawasan elite, yang memang elite dan ada kawasan yang memang kelas rendah dimana mengharungi kemiskinan yang teruk. Cuba bayangkan di bandar yang sama.

Kemiskinan dalam Tuhan

Adakah Tuhan sengaja membezakan dan membentuk kawasan miskin dan kawasan kaya? Bagaimana Tuhan sebenarnya bekerja dengan mereka yang berkesudahan kurang ini. Jangan andaikan Tuhan hanya senang bekerja dengan mereka yang mempunyai wang dan lengkap untuk memberikan persembahan kepadanya di gereja.

Menurut perkiraan pemikiranku, Tuhan itu boleh bekerja dimana-mana, seperti Yesus yang berjalan dengan Komuniti, menghiburkan mereka yang miskin, menyembuhkan mereka yang sakit, menyegarkan mereka yang lelah, memberikan kasih sayang dengan perumpaan-perumpaan berisi dan berakal. Itulah yang menghidupkan Komuniti sebenarnya, membina Komuniti yang padu untuk membentuk gereja padu. Gereja itu Komuniti.

Penglihatan dalam perjalanan ini memberikan suatu refleksi baru untuk melihat ruang dan erti kemiskinan sebenar. Miskin tidak semestinya mereka yang tinggal jauh di bandar dan kawasan paling dalam. Miskin lagi getir di tengah-tengah kota dengan kehidupan persaingan yang tinggi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s