Shamanisme di Malaysia: contoh Mamagambil

Shamanisme di Malaysia: contoh Mamagambil

“Pagambil”

Penulisan saya kali ini lebih mengupas kepada tentang upacara-upacara dalam shamanisme oleh nenek saya.  Shamanisme dalam Dusun Tindal mempunyai 3 upacara yang utama iaitu Mamagambil, Moguhok dan Magambao.

Maka, disini saya ingin menjemput pembaca untuk menyertai saya dalam penerokaan yang lebih mendalam tentang upacara yang pertama iaitu “Mamagambil”.

Mamagambil merupakan upacara Shamanisme yang dibuat untuk memanggil “Tombilon”. Tombilon bermaksud “Great Spirit” yang menjawap panggilan dalam upacara Mamagambil.

Tombilon yang biasanya akan terpanggil dalam Mamagambil adalah dinamakan “Himbou” ataupun malaikat di langit untuk melihat kesakitan seseorang. Mamagambil  ini biasanya dilakukan oleh seorang “Pagambil” ataupun dikenali sebagai pemanggil malaikat di langit melalui bahasa Himbou.

Mamagambil biasanya dilakukan pada waktu malam dimana seluruh ruang “Pogombilan” ataupun tempat ruang upacara adalah dalam keadaan gelap dan pesakit akan duduk menghadap ke arah Pagambil.

Pagambil akan diselubungi selimut dan memulakan Mamagambil dengan nyanyian dalam bahasa Himbou sambil membuat satu gerakan tarian. Semasa Mamagambil, penglihatan seorang Pagambil adalah seperti mimpi dimana Pagambil melihat sesuatu objek seperti bayangan dimana ianya sangat bergantung kepada gerakan hati Pagambil.

Pagambil biasanya akan mengambil masa dalam 30 minit ataupun lebih dari 1  jam untuk berkomunikasi dengan Himbou. Pagambil juga akan mengambil jangka masa yang panjang untuk mempelajari Mamagambil dimana nenek saya sendiri mengambil masa lebih dari 10 tahun dimana dia telah mula mempelajari upacara ini sewaktu kecil hingga dewasa.

Proses pembelajaran dalam Mamagambil bermula dengan Pagambil akan menghafal semua lirik-lirik lagu dalam bahasa Himbou dan satu upacara “Mokiroliu” ataupun dikenali sebagai “Pemindahan Kuasa” akan diadakan dimana “Guru” Pagambil akan mengangkat anak muridnya dengan membuat satu rentak tarian bersama dengan nyanyian dalam bahasa Himbou.

Selain daripada pemindahan kuasa, Mokiroliu juga dilakukan dengan tujuan untuk memperkenal diri Pagambil yang baru kepada Himbou.

Himbou

Himbou ataupun malaikat di langit merupakan malaikat-malaikat yang mempunyai penglihatan dan kuasa pemyembuhan yang sangat luar biasa. Menurut nenek saya, Himbou juga mempercayai bahawa wujudnya “Kinorohingan” ataupun Tuhan yang sangat berkuasa di alam ini.

Kinorohingan dikatakan mmpunyai seorang isteri yang bernama “Eumum” dimana Eumum mempunyai satu kuasa penyembuhan yang sangat tinggi dimana semua Himbou akan merujuk kepadanya. Kinorohingan juga dikatakan telah mencipta seluruh alam, manusia dan Himbou itu sendiri.

Kehidupan Himbou adalah seakan-akan sama seperti kehidupan manusia dimana Himbou mempunyai kawasan perkampungan seperti “Ributan,Pupusan, Sinupu, Hinobou dan Himbou juga mempunyai keluarga dan  komuniti.

Perbezaan antara manusia dengan Himbou adalah Himbou tidak mempunyai jangka hayat kematian dan Himbou juga adalah sangat pembersih dimana mereka tidak akan memakan benda-benda hidup seperti daging manakala manusia sudah ditetapkan hayat kehidupannya di bumi.

Mamagambil

Menurut kepercayaan dalam Mamagambil, seseorang yang mengalami kesakitan adalah disebabkan rohnya telah di ambil dan dikurung oleh “Rogon jahat” ataupun dikenali sebagai syaitan jahat dan menyembunyikan roh tersebut di sesuatu tempat seperti pokok, sungai dan setiap sudut tanah.

Apabila Pagambil membuat Mamagambil, Himbou akan datang berkomunikasi dengannya dan Pagambil akan melihat bayangan tempat tersebut dan Himbou akan memberitahu Pagambil bahawa roh pesakit tersebut adalah di tempat itu.

Selepas itu, pesakit akan meminta Himbou untuk mengambil rohnya semula. Himbou akan membuat beberapa strategi untuk melawan syaitan jahat tersebut dengan memanggil pembantu-pembantunya yang dikenali sebagai “Tambagat”. Salah satu strategi Himbou adalah menyuruh Tambagat untuk mengalihkan perhatian syaitan jahat dengan mengajak syaitan jahat itu menari dan minum bersama dan Himbou akan mengambil peluang untuk mengambil roh tersebut. Apabila roh berjaya diselamatkan, pesakit tersebut akan pulih seperti biasa.

Contoh peristiwa adalah dimana seorang jiran saya mengalami kesakitan yang teruk dimana kulitnya bertukar menjadi kuning dan mengalami kesejukan separuh badan.

Pada mulanya, dia sering berulang alik ke hospital untuk mengambil ubat tetapi kesakitan tidak pernah berubah. Lantas, dia memutuskan untuk berjumpa dengan nenek saya untuk melakukkan upacara Mamagambil.

Semasa upacara tersebut, nenek saya memberitahu bahawa roh jiran saya telah di bawa oleh syaitan jahat dan meletakkan badannya di dalam sebuah tong yang besar dimana tong tersebut dipenuhi oleh air yang berwarna kuning.

Ini telah menyebabkan jiran saya merasa sejuk separuh badan dan kulitnya berubah menjadi warna kuning. Selepas itu, Himbou bertungkus lumus membawa rohnya semula dan jiran saya pulih seperti biasa.

Kepercayaan dalam perubatan Mamagambil adalah dimana seseorang akan pulih apabila rohnya berjaya diselamatkan dan sesetengah roh yang tidak berjaya diselamatkan akan membawa pesakit kepada kematiannya.

Maka saya melihat upacara Mamagambil ini merupakan satu upacara kosmik yang sangat menakjubkan dimana wujudnya satu sistem perubatan dunia kosmik yang sangat canggih dan moden.

Kemodenan dan kecanggihan disini bukan semata-mata berlandaskan kepada peralatan teknikal di dalam perubatan tetapi bergantung kepada tenaga kosmik dan spirituality di dalam proses penyembuhan.

– See more at: http://www.projekdialog.com/featured/shamanisme-di-malaysia-contoh-mamagambil/#sthash.ThFp6Cyf.dpuf

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s